Muhasabah

Ucapan buat Fateh

Assalammualaikum....

Fateh, ibu cuma mahu titipkan ucapan tahniah buat Fateh,
 tempat pertama bagi kategori 4 tahun.

Ibu maklum, perjalanan Fateh masih panjang, moga catatan ini merupakan motivasi buat Fateh andainya Fateh merasa lemah dan terasa mahu berundur dari berjuang, Fateh akan tahu bahawa Fateh pernah mencatatkan kejayaan kala usia ini.

Namun, bukan kejayaan dunia yang dicari, kerana kejayaan akhirat adalah buruan utama. Mendapat keampunan Allah dan redhaNya.

 catatan ringkas dari ibu, setelah sekian lama tidak mencatat.



Fateh yang soleh



Jawwad pun merasa pakai baju konvo di taska, setelah penat dipujuk oleh cikgu- cikgu yang baik hati.



Jawwad yang soleh


Terasa semakin berat tanggungjawab ibu dan baba..

Nuha yang solehah

Bahasa Fateh

Fateh semakin lama semakin besar. Percakapannya semakin matang. Lagak seorang dewasa.

Pernah suatu hari, Fateh  cerita tentang anak kucing. Dialognya lebih kurang begini:

Fateh: ibu, tadi Fateh jumpa anak kucing, kasihan dia, dia dalam kesusahan.


Ibu : oo,ye ke....Fateh tolong dia tak? (dalam hati rasa canggihnya ayat fateh ni...haha)

Kisah Kelahiran Puteri Sulung : Nuha Al Rif'ah

Nuha Al Rif’ah, nama puteri sulung Usrah El Fuady.

Kehadiran Nuha, tidak dijangka.

Ibu menunggu kitaran normal sebagai seorang wanita, mengharap mudah-mudahan ada harapan untuk menimang lagi cahayamata.

Namun, Allah telah hadirkan Nuha terus tanpa didahului dengan kitaran itu.

Ibu sebak, sedih, gembira dan teruja. Perasaan ibu bercampur baur.

Ya Allah, siapalah ibu untuk menafikan semua nikmat yang Allah anugerahkan, ibu tidak sempat menadah tangan untuk memohon, namun Allah pantas menghadirkan nikmat tersebut.

Alhamdulillah. Syukur.

Tatkala diketahui jantina bayi yang ibu kandung adalah perempuan, ibu lebih terharu.

Ya, ibu tidak memilih apa jantina yang Allah mahu beri, namun terselit juga mahukan puteri penyeri keluarga kecil kita.

Dan tatkala jantinanya seorang mujahidah, ibu seolah terpaku seketika. Ya, ibu akan ada peneman.
Peneman penyeri di samping abang-abang Nuha yang soleh.

Kisah Kelahiran.

Sebagaimana kehadiran Nuha tidak ibu dan baba menduga, begitu juga kelahirannya.

(Dan begitu juga kematian kita nanti, siapa yang tahu kan,peringatan dan pengajaran buat ibu apabila melalui detik-detik mengandungkan anak-anak ibu dan melahirkan kalian.)

Semasa ibu mengandungkan abang Jawwad dahulu, ibu mengharapkan dapat melahirkan abang Jawwad di PPARRIDZUAN. Namun Allah mentakdirkan abang Jawwad dilahirkan di Kuala Kangsar.

Alhamdulillah. Ibu bersyukur kerana semuanya selamat. Bahkan proses ibu melahirkan abang Jawwad lebih cepat dan mudah. Ibu ada berkisah tentang kelahiran abang Fateh di sini dan abang Jawwad di sini.

Tarikh jangkaan scan untuk ibu melahirkan Nuha adalah pada 27 Disember 2012.

Seperti disarankan oleh Dr, ibu pergi membuat pemeriksaan rutin di ARRIDZUAN 3 bulan sebelum tarikh jangkaan.

Seminggu sebelum tarikh ibu dijangka bersalin, ibu dan baba ke sana untuk membuat pemeriksaan.

Baju-baju ibu, Nuha dan baba semua ibu bawa sekali. Abang Fateh dan abang Jawwad telah ibu tinggalkan dengan maktok di kampong.

Sebenarnya maktok minta ibu tinggalkan abang fateh dan Jawwad 2 minggu labih  awal sebelum tarikh jangkaan. Maktok risau nanti kelam kabut, tiada siapa yang jaga mereka seandainya ibu terbesalin awal.

Ibu menurut.
 Saat ibu tinggalkan abang fateh dan jawwad, terasa sangat sebak. Sebak sebab sedih. Kerana kalau ikut tarikh jangkaan bersalin, ibu akan tinggalkan mereka selama 2 minggu. Lamanya….

Namun baba bijak menangkan ibu. Dan ibu amat berharap semoga ibu dapat bersalin minggu itu juga.

Kembali ke kisah ibu pergi buat pemeriksaan.
Ibu diperisa oleh Dr. Maizun. Alhamdulillah orangnya baik, ramah dan selalu bagi motivasi.
Tatkala diperiksa, Dr. Maizun mahu memeriksa bukaan rahim. Menurut Dr. muka ibu sudah seperti orang mahu bersalin.

Ibu membenarkan.
Dr. maizun :” Dah buka 4cm ni, masuk wad hari ni ya.”
Ibu: “ Hah,…

Ibu agak terpinga-terpinga. Kerana ibu tidak merasakan kontraksi. Cuma perut ibu sahaja yang mengeras.
Maka, ibu dan baba menurut perintah. Malam tu baba menemani ibu di wad.

Keesokkan harinya, 21hb 12, Dr. mahu masukkan ubat bagi  mempercepatkan proses bersalin .

Jujurnya ibu bimbang, takut baba tidak dapat menemani ibu semasa ibu melahirkan Nuha. Kerana baba perlu ke masjid berdekatan untuk menunaikan fardhu jumaat.

Ibu masuk ke labour room pagi dalam pukul 11 pagi. Nurse masukkan ubat bagi menggalakkan kontraksi.
Ibu menunggu saat demi saat,bila kesakitan bersalin itu mahu menjengah. Bukaan pintu rahim ibu waktu itu sudah 5 cm.

Jam sudah menunjukkan pukul 1 tengahari. Baba perlu meninggalkan ibu untuk ke masjid.
Sayu pula rasanya. Ibu memperbanyakkan bacaan zikir.

Pukul 3 petang baba kembali.

 Lega.

 Ibu sengaja meminta baba tunaikan segala keperluan baba terlebih dahulu seperti makan tengahari.
Dalam pukul 3.45, ibu mula rasa sakit kontraksi. Namun sangat lembut. Tidak seperti sakit kontraksi melahirkan abang-abang Nuha dahulu.

Kepala Nuha juga agak ke atas. Jadi ibu perlu bekerja lebih bagi menurunkan kepala Nuha ke bawah.
Pukul 4 petang bukaan rahim dah 8cm. Dr. datang lebih awal sebelum ini untuk memecahkan air ketuban ibu. Sakit lebih kerap.

Dan Alhamdulillah, Nuha selamat dilahirkan serentak dengan azan asar berkumandang. Jam 4.42 petang Jumaat. Sama hari dengan abang Jawwad, Cuma abang Jawwad pagi Jumaat.

Nuha lahir pada 21 Disember 2012.

Nuha, beberapa minit setelah dilahirkan,dalam proses mencuci.


Sangat lega.
Mungkin Nuha anak perempuan. Aktifnya tidak sama dengan anak lelaki.
Nuha yang solehah, selamat datang ke Usrah El Fuady.





Nuha setelah dibersihkan


Nuha bersama tokwan di hari akikah dan cukur rambut (hari ke-7)



Nuha bersama mak tok... :)  



Ibu selalu mendendangkan lagu ini kepada Nuha, abang Fateh dan Jawwad pun dah hafal, kadang-kadang depa yang lagukan untuk adik Nuha..

Nuha anak yang solehah
penyejuk mata, penawar hati. penajam fikiran
di rumah Nuha solehah, di luar pun solehah
di mana-mana pun, Nuha anak solehah..
(edit sikit lagu nasyid ni)

السلام عليكم، اسمي نهى الرفعة،أحبكم في الله، ولا تنسوا قراءة كتابة أمي الحبيبة في أسرة الفؤادي
مع السلامة وإلى اللقاء
Ibu dan baba mahukan Nuha menjadi anak yang solehah, yang memberi manfaat kepada agama Allah.
Cabaran membesarkan anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki. Ya, ibu dan baba perlu lebih bersedia




Daurah ibu



Assalammualaikum
Alhamdulillah, daurah yang ibu sertai telah tamat semalam, InsyaAllah hari ini majlis penutup.

Hari-hari awal ibu mengikuti daurah ini, ibu rasa seperti mahu berhenti. Kerana ibu memikirkan tugasan ibu yang amat banyak. Ya, sangat banyak.

Bagaimana ibu nak menguruskan masa ibu? Ibu kena menjalankan soal selidik, mengumpul data untuk kajian ibu, kena betulkan bab-bab yang sebelumnya setelah dilihat semula oleh Dr. Umar Fawwaz.

Dalam  daurah yang ibu ikuti, sepuluh subjek yang diajar. Sebahagiannya ada kerja rumah. Dan di akhir daurah ada ujian.

Daurah berlangsung selama 14 hari. Setiap hari kecuali hari ahad. Tiga kali sabtu. Ini bermakna hari sabtu pun ibu kena korbankan masa ibu untuk ke daurah. Ohh….

Kasihan anak-anak ibu…

Ibu hampir rasa nak berhenti daripada melibatkan diri ibu dengan daurah.

Tapi naluri hati ibu mengatakan , ibu sangat rugi kalau berhenti. Sangat rugi. Kerana peluang menuntut ilmu dengan Syeikh-syeikh dari UIM bukan selalu datang.

Seperti biasa, ibu akan menyuarakan kepada baba. Baba berfikiran sebaliknya. Baba menguatkan ibu untuk terus mengikuti daurah ini. Malah baba sanggup jaga malaikat-malaikat kecil ibu dan baba pada hari sabtu.
Terima kasih baba. Sangat terharu..

Ibu juga mengambil pengajaran daripada masa silam. Waktu itu ibu di Mesir, selesai tahun empat, hajat di hati ingin terus menyambung M.A di al-Azhar. Sebelum diterima masuk para pelajar akan di uji dengan hafazan al-Quran.

 Tak banyak pun muqararnya, juzu’ 1-8. Tapi oleh kerana di Kaherah semasa ibu tahun satu-tiga, muqarar hafazan adalah mengikut surah-surah seperti yang ditetapkan pihak Universiti, manakala pada tahun empat pula muqarar telah diubah. Hafazan adalah mengikut juzu’.

Jadi ibu kena berusaha untuk menghafaz juzu’-juzu’ yang ibu tidak hafaz. Iaitu juzu 3-8. Banyak kan..?

Kebetulan, semasa itu, cuti musim panas, ada berlangsungnya majlis talaqqi ilmu. Ibu sertai, namun ibu berhenti di tengah jalan kerana ingin fokus dengan hafazan.

Natijahnya…ujian tidak lepas, dan talaqqi pun ibu terlepas.

Sangat rugi kan..???

Kini ibu yakin  bahawa, apa pun perkara yang melibatkan ilmu, jangan lepaskan peluang. Andainya bertembung dengan perkara lain, usahalah agar tetap dapat sertai majlis ilmu.

Taman  syurga yang Allah sediakan di dunia ini, rugi andainya tidak bertandang. Perkara lain kita serahkan kepada Allah setelah berusaha. InsyaAllah, pertolongan Allah itu ada.

InsyaAllah selepas ini ibu akan kongsikan pula sedikit sebanyak ilmu yang ibu dapat daripada daurah tersebut.




Rasa rindu nak berdaurah lagi…Nikmatnya majlis ilmu..

Fateh Mengira

Salam buat anak-anak ibu yang soleh

Dua minggu ini ibu amat sibuk. Ibu mengikuti kursus intensif daripada para pengajar Universiti Madinah.

InsyaAllah ibu akan muatkan serba sedikit perkongsian yang ibu dapat dalam kursus tersebut. Nanti bila anak anak ibu sudah pandai membaca, boleh baca apa yang ibu kongsikan di sini InsyaAllah.

Tadi ibu ajar abang Fateh mengira. Fateh sangat suka aktiviti ini.

Jujurnya ini adalah kali pertama ibu ajar abang fateh mengira secara fokus. Sebelum ini bersahaja aja.

Tadi, dapat kad laporan markah, matematik Fateh 70%...ohh  terus terasa yang ibu memang tidak dedahkan Fateh dengan nombor berbanding dengan subjek lain.

Ibu : Fateh, 3 + 2 berapa?

Fateh: emm…sambil mengira dan sebut 1 2 3 4 5.

Ibu: berapa Fateh?

Fateh : 5 ibu

Ibu: Pandai anak ibu bagi jawapan, betul, 3 + 2 = 5

Fateh : Ibu, 5 tu banyak ke sikit?

Ibu: Banyak la

Fateh: oo Ibu kalau kita buat baik, Allah bagi pahala baaanyak kat kita kan?

Ibu : Ohhh…(terharu sebenarnya)Bagus Fateh…..

Ibu ajar Fateh dan Fateh ajar ibu. Pokoknya dalam sesi pengajaran ibu, sedaya upaya mesti selitkan unsur-unsur akidah, akhlak, ibadah.

Kerana……….suci hati anak-anak kecil, masa yang sangat sesuai untuk menyemai ilmu-ilmu kebaikan.


Jawwad yang Menguji juga Mendidik



Ibu selalu baca teknik Rasulullah dalam menegur kesalahan. Antaranya ialah pejamkan mata terhadap kesalahan yang dilakukan, puji kebaikan yang dibuat walaupun kecil.

Tapi ibu masih belum mampu melakukan teknik ini.,

Yalah, apabila marah ,hilang semua teknik. Astagfirullaha’Azim….

Malam tadi, Jawwad betul-betul mengajar ibu.

Sewaktu ibu menyusukan adik Nuha, Abang Fateh menjerit” Ibu, cepat ibu, Jawwad tuang ubat, habis tumpah”.

Ibu:(Sabar…tarik nafas…)

Keluar bilik untuk melihat Jawwad. Betul laporan abang Fateh. Jawwad tuang ubat.

Sekarang ni memang musin Jawwad mempraktikkan kemahiran menuang. Semua benda dalam rumah Jawwad nak tuang.

Hmmm..Ibu marah Jawwad…Kasihan Jawwad. Kalau ikutkan salah ibu lah kan. Letak ubat di tempat yang mudah Jawwad capai.

Sedang ibu di dapur, abang Fateh menjerit lagi” Ya Allah, Ibu, Jawwad sepahkan ubat ni”. Sebenarnya bedak sejuk dalam botol, habis Jawwad tuang ke lantai.

Ibu rasa macam nak menangis pun ada. Ibu tak sempat rehat lagi seharian. Sabar….sabar..Ibu meminta Jawwad kutip semula.

Abang Fateh tolong sama. Dan Alhamdulillah, habis semua bedak dikutip. Ibu puji tindakan abang Fateh menolong Jawwad.

Ibu kembali ke dapur. Tiba-tiba. Dengar lagi abang Fateh menjerit ..”ya Allah Jawwad,habis susu tu..”
(Fateh, memang suka kata” Ya Allah “ , macam orang besar.)

Rupa-rupanya Jawwad tuang susu dalam cawan plastik, sampai penuh cawan dan melimpah keluar. Penuh pula lantai dengan susu.

Betul-betul nak menangis ni…

Mata ibu jegilkan ke Jawwad. Tiba-tiba abang Fateh tampil ke depan ibu,menghalang ibu melihat Jawwad dan spontan berkata” dah lah ibu, tak baik marah-marah tau”

Ibu sedikit terkesima dengat tindakan Fateh. Ibu “ Oh…ok, ibu tak marah”

Memang tak jadi marah sebab Fateh bertindak sebegitu. Bagus betul Fateh.

Ibu” habis tu ibu kena buat apa Fateh? Istighfar ye?

Fateh” hmmm…ibu kena tengok berita” (tiba-tiba je kena tengok berita) Lawak pun ada.

Ni pasti Fateh nak umpan Ibu untuk dia tengok kartun ni..

Dan Alhamdulillah, ibu tersedar bahawa sebenarnya sewaktu Jawwad tumpahkan ubat dan bedak sejuk tu, ibu gagal mempraktikkan teknik Nabi.

Kali ni ibu sedar, dan ibu puji Jawwad, pandai Jawwad tuang air susu tu,, Jawwad nak minum ya?

Patutlah Jawwad buat sampai tiga kali, rupa-rupanya nak ajar ibu untuk praktikkan teknik Nabi tu.

Terima kasih Jawwad.

Sayang Jawwad kerana Allah. Abang Fateh dan kakak Nuha juga.




Jawwad, dia semakin matang, juga bertambah manja....

Ibu: Perlu lebih sabar dan berfikir sebelum bertindak. Pandai malaikat-malaikat kecil ibu ni mendidik ibu. Sungguh terdidik!


Lembutnya hati mereka



Beberapa minggu yang lepas, waktu malam, ketika ibu sibuk memasak di dapur, Fateh dan Jawwad bermain di ruang tamu depan.

Apabila penat, mahu makan, mahu minum. Roti masing-masing dibuka. Seperti dapat dihabiskan sebungkus seorang.

Seperti jangkaan ibu, Fateh dan Jawwad tidak habiskan roti-roti tersebut.

Dan secara tidak sengaja, Fateh telah tumpahkan air. Jus mangga.

Ibu pujuk hati, pejamkan mata, sabar…sabar, tarik nafas panjang-panjang.
Maka bermulalah leteran tazkirah ibu.

Ibu ke dapur semula.

Menyambung semula kerja. Fateh dan Jawwad sambung bermain. Ibu minta Fateh kemaskan mainan di ruang tamu.

Tiba-tiba Fateh menjerit :

“Aduh ibu, sakit, telinga Fateh kena bucu kerusi ni, ibu, Tuhan dah buat balasan dekat Fateh…isk..isk..”

Ibu..tergamam dan terharu, juga bimbang seandainya fateh menyangka-yang bukan-bukan pada Allah.

Ibu memujuk Fateh dan berkata” Bukanlah Fateh, Allah tak bagi Fateh balasan pun, Allah tegur Fateh sikit ja.”

Fateh ( angguk-angguk dalam tangisan)

Sebak betul Fateh.

Ibu tidak pula menyangka akan keluar pekataan seperti itu dari mulut Fateh.

Ibu selalu berpesan kepada Fateh, hormat ibu, baba, cikgu, kawan-kawan. Ingat, kalau kita hormat semua orang, Allah akan bagi pahala yang amat banyak, tapi kalau tak hormat, cakap marah-marah, nanti Allah balas.





Bersih sungguh hati anak-anak kecil,sedikit pesanan sangat terkesan di hati mereka!
Adakah hati kita juga selembut mereka.?Ya Allah lembutkanlah hati-hati kami dan hati zuriat-zuriat kami dalam menerima kebenaran. Allahumma Ameen!


Tawadhuk seorang yang berilmu.




Bulan lepas, ibu, baba dan anak-anak ke KUIN. Dengan dua tujuan iaitu untuk berjumpa dengan penyelia tesis ibu, dan yang kedua untuk mengambil baucer buku.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Apa yang ibu ingin kongsikan di sini ialah sifat tawadhuk yang ditunjukkan oleh penyelia ibu, Dr. Umar Fawwaz.

Tawadhuk bagaimana?

Begini, Usai pertemuan ibu dengan Dr. Umar, ibu, baba dan anak-anak ke masjid bagi menunaikan solat jama’. Sampai di halaman masjid, handset berdering.

Panggilan dari Dr. Umar. Meminta ibu untuk bertemunya sekali lagi bagi memulangkan bab 3 yang hampir separuh disemak.
Dr. Umar memberitahu ibu bahawa beliau akan menunggu ibu di hadapan bangunan perpustakaan. Dengan segera baba membawa ibu semula ke KUIN.

Sampai di sana, kelihatan Dr. Umar menunggu dengan sabar. Betul-betul di hadapan bangunan perpustakaan.

Hakikatnya Dr. Umar kelihatan mahu cepat kerana beliau ada kuliah dengan pelajar pada waktu tersebut.

Baba mengambil kesempatan ketika itu untuk membawa anak-anak ibu yang soleh, Fateh, Jawwad dan Nuha turun bertemu dengan Dr.Umar.

Apa yang Dr.Umar lakukan?

Dr. Umar mencium tangan anak-anak ibu. Yang sewajarnya anak-anak ibu lah kan yang kena mencium tangan Dr. Umar. Tapi Dr. Umar terlebih dahulu mencium tangan kalian.

Sempat lagi bergurau dengan Jawwad, kebetulan Jawwad bawa roti, dan terjatuh,Dr. Umar tolong ambilkan, dan dengan nada bergurau berkata kepada Jawwad, “roti ini untuk saya?( dalam bahasa arab)

Jawwad yang masih kecil seolah faham maksud kata-kata Dr. Umar lalu pantas menjawab “ Awwad nya”

Lalu Dr. Umar berseloroh, Jawwad maknanya pemurah, tapi (merujuk tindakan jawwad tidak mahu memberinya roti) bakhil(kedekut). Lalu tercetus ketawa.

Pertemuan berakhir di situ.

Setiap kali pertemuan Ibu dengan Dr. Umar, titipan pesanan ini yang sering dibekalkan:

“Doakan saya sebagaimana kamu doakan untuk kamu dan keluarga kamu dengan apa yang kamu suka dunia dan akhirat.”
Dr. Umar, kamu sangat Tawadhuk. Semoga sifat ini dapat ibu amalkan apabila berinteraksi dengan para pelajar ibu, InsyaAllah. Allahumma Ameen!

Apabila mengajar anak mengaji...



Seperti biasa,selepas maghrib adalah waktu untuk Fateh dan Jawwad mengaji.

Kebiasaan Fateh, apabila ibu mengajar patah perkataan, fateh akan bertanya, maka sesi mengaji akan menjadi lama.

Fateh baca : غَ سَ لَ ( Gha sa la), ibu gha sa la tu apa?

Ibu: oh ghasala tu basuh.

Fateh: oh basuh baju, basuh pinggan,basuh kereta ya ibu..?

Ibu: Ya, ok Fateh, cepat baca pula lepas tu apa?

Fateh: Su Ghi Ra , ibu sughira tu apa?

Ibu: Sughira tu kecil..

Fateh: ooo..kecil apa ibu?

Ibu: kecil tu macam Fateh la, Fateh, Jawwad kecil, ibu besar

Fateh:ooooo

Ibu: ok lepas tu apa Fateh

Fateh: Qa Ha Ra (قَ هَ رَ) ibu, Qa Ha Ra tu apa? Eh ibu tak baik cakap kau (merujuk kepada Qa )

Ibu: Oh a’ah..

Tajam ingatan anak-anak kecil,apa yang diajarkan,semua diingat. Sehinggakan yang hampir kepada sebutan pun dianggap tidak boleh.

Anak-anak dalam usia begini sangat suka bertanya. Fateh juga begitu. Jawwad masih belum menunjukkan minat seperti Fateh. Tapi suka duduk tepi abang dan baca buku Furqannya.

Ya Allah, bantulah kami dan kurniakanlah kesabaran kepada kami dalam mendidik amanah anugerahMu ini.

Maafkan ibu


Assalammualaikum...

Pagi tadi sebelum ke Pasti,

Fateh:Ibu,Fateh nak bawa bekal (sambil buka peti ais,melihat apa yang ada untuk dibawa)

Ibu: oo,Fateh bawa kek ya,makan dengan kawan-kawan nanti.

Fateh: ok

Tiba-tiba menyelinap perasaan sedih dan terkilan...

Ya Allah, sebuah teguran halus buat diri ibu. InsyaAllah, ibu akan sediakan bekal buat Fateh selepas ini. Sebelum ini kalau Fateh ke Taska, memang ibu bekalkan makanan, cuma sejak ibu bersalinkan adik Nuha, ibu seolah sukar menguruskan tugasan ibu.

Anak-anak ibu yang soleh dan solehah,tradisi mak tok akan ibu teruskan, membekalkan makanana hasil air tangan ibu..Doakan ibu ya!

Kisah malam itu..



Balik dari keja semalam, ibu sangat penat. Lain dari hari-hari yang lain. Makanya, emosi pun tidak stabil.

Selepas maghrib malam tu, ibu tak pasti apa yang Fateh lakukan, tak silap ibu, Fateh pukul adik Jawwad, ibu katakan pada Fateh, Tak nak pukul adik…tapi dalam emosi ibu yang agak tidak stabil.

Reaksi Fateh?


Fateh merajuk. Fateh sedih. Terus masuk bilik ibu dan baba. Fateh ulang perkataan yang sama” Fateh tak nak kawan ibu. Ibu marah Fateh. Fateh sedih”.


Fateh terus berada dalam bilik ibu dan baba, tak keluar-keluar sebagaimana biasa.

Dan rupa-rupanya Fateh ‘membuang ‘ dalam seluar.

Ya Allah….

Lagi bertimpa-timpa ketidak stabilan emosi ibu…….isk..isk..

Ibu pergi dekat Fateh, Ibu cuba menjegilkan mata…tapi tak sampai hati….

Fateh terus kata” Fateh tak nak kawan ibu.

Begitu terkesannya Fateh dengan ‘marah’nya ibu tadi. Sampai tak sempat nak cakap mahu ke tandas seperti kebiasaannya.

Ibu pesan pada Fateh, jangan ke mana-mana, tunggu sehingga ibu selesai solat Isya’.

Fatuh akur.

Usai solat, ibu bawa Fateh ke tandas, ibu minta Fateh buka baju sendiri.

Fateh: Ibu tolong la buka, Fateh tak pandai (dalam tangisan yang teresak-esak.)

Waktu ni hati ibu sayu. Tapi ibu perlu ajar Fateh.

Ibu: Fateh buka la, Fateh kan dah besar. Dah 3 tahun dah kan.

Fateh: Ibu tolong la Fateh….huwaaa….

Akhirnya ibu akur, mungkin baju yang Fateh pakai tu agak ketat. Ibu bantu untuk buka.

Selesai buka baju.


Ibu: buka seluar sendiri. Ibu tak nak tolong dah. Cepat ibu bilang 1 sampai 3, kalu tak ibu masuk dalam.

Fateh:huwaa….. ibu Fateh minta maaf, fateh minta maaf, ibu janganlah tinggal Fateh sorang-sorang….huwaa….

Oh..ibu cukup tersentuh dengan reaksi Fateh yang ini…

Ibu: Fateh kan pandai buka seluar.(CD)

Fateh: Fateh tak pandai…huwaa…..


Memang Fateh malam tu sedih sangat. Teresak-esak dalam tangisan.

Jawwad pula angkat-angkat baju, minta bukakan baju, nak masuk sama dalam bilik air. Kelakar la jawwad nih. Dengan lafaz yang keluar dari mulutnya…nak..nak…nak…

Fateh: Fateh nak baba…isk..isk..

Ibu: Baba pergi surau….ibu je ada ni…cepat, ibu tak nak buka seluar yang ada tahi. Fateh berak dalam seluar kan….ibukan dah pesan berak dekat dalam tandas ja.

Ibu pun sebenarnya faham yang Fateh kali ni dia memang tak sengaja.
Dan akhirnya Fateh Berjaya buka seluar tu.

Ibu: letak seluar tepi tu, Fateh cangkung kat tandas tu,buka air
Fateh: Ibu buka la air tu…


Ibu: Ibu tak nak buka, Fateh buka sendiri.

Fateh mengikut setiap tutur kata ibu dalam tangisan. Memang ibu Nampak Fateh amat sedih. Ibu rasa nak peluk Fateh saat tu juga. Tapi ibu tahan dulu, sebab ibu nak Fateh tahu bahawa Fateh dah besar, kena mula belajar berdikari.

Selesai Fateh mencuci.

Ibu: Fateh cuci sendiri ye tahi yang dekat seluar tu. Ibu tak nak cuci.

Macam kejam je ib u kan….

Fateh: Ibu la cuci. Fateh geeli.huwaa…

Ibu: Fateh la cuci. Tu tahi Ibu ke?

Fateh: bukan. Isk.isk..

Ibu: itu tahi baba ke?

Fateh: bukan..isk..isk..

Ibu: itu tahi Jawwad ke?

Fateh: Bukan..isk..iskk

Ibu: tu tahi sape?

Fateh: tahi Fateh….isk..isk..

Ibu: Kalu tahi Fateh, Fateh la kena cuci. Ibu pesan banyak kali kan pada Fateh, berak dan kencing dalam tandas.

Fateh akur sekali lagi dengan arahan ibu. Fateh bangun dan ambil seluar Fateh, pancutkan air.

Namun ibu tolong akhirnya kerana Fateh masih tak tahu ,mencuci sendiri.

Ibu Cuma mahu melatih fateh. Dan ibu mahu nyatakan pada Fateh bahawa berak dan kencing semua di tandas. Kalau tak akan jadi macam ni. Ibu tak nak tolong.

Sekali sekala menggunakan kaedah tarhib dalam ajar Fateh. Mudah-mudahan berkesan.

Juga ibu tahu Fateh sememangnya tidak sengaja membuang di dalam seluar. Sebelum-sebelum ini Fateh akan maklumkan pada ibu andainya mahu membuang.

Dan…..Baba pulang dari surau…

Dalam keadaan ibu sedang memeluk Fateh, Ibu ceritakan pada baba, betapa Fateh amat mematuhi semua arahan ibu juga reaksi Fateh apabila ibu marah. Kemaafan yang Fateh lontarkan secara spontan dalam keadaan yang bersungguh, Cuma ibu ceritakan pada baba dengan nada yang amat perlahan, tiba –tiba Fateh mencelah

Apa la ibu ni cakap pelan-pelan, cakap lah kuat-kuat.


Pecah ketawa ibu dan baba.

Fateh…..

Fateh dah besar sekarang. Dah semakin matang, ibu sayang Fateh dan Jawwad. Fateh tak minta maaf pun ibu sentiasa memaafkan Fateh. Fateh anak solah, Fateh anak mumtaz!

Dan semuanya bermula dari ketidakstabilan emosi ibu tadi…. Astaghfirullah al-Azim. Mudah-mudahan dapat diambil yang positif.





Fateh ibu dan baba yang soleh


Juga Jawwad ibu dan baba yang solah





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in